Biografi Naza Mohamad

Naza memulakan kerjaya muzik sebagai ahli kumpulan Space Cure, kemudian menganggotai kumpulan Polythene sebagai vokalis/gitaris dan muncul bersama EP This Life Cumulative yang dikeluarkan pada 2002. Beliau meninggalkan kumpulan itu dan menyertai pula OAG sebagai gitaris dan beliau telah menerbitkan dua album bersama kumpulan itu.

Naza meninggalkan OAG pada 2004 dan menubuhkan kumpulannya sendiri, The Times yang turut dianggotai oleh adiknya, Mono. The Times telah menikmati kejayaan dalam industri muzik indie dengan menerbitkan tiga album - Soda Pop Rok 'N' Roll, Nada Melankolik Malaya dan Modern Minimalis Glamour.

Naza juga ialah pemilik kedai muzik Sputnik Rekordz yang beroperasi di Pasar Besar TTDI, Taman Tun Dr. Ismail.[1] Beliau pernah tampil dalam lagu Pastel Lite bertajuk "Hello Sayang" yang dimuatkan dalam album Pop Bilik Tidur (2019). Beliau bersama bekas wartawan muzik, Adly Syairi Ramly mengarang buku Psyche Oh! A Go Go yang memperincikan tentang khazanah muzik pop Malaysia dan Singapura antara 1964 dan 1974, ia dikeluarkan pada Ogos 2020 oleh Obscura Malaysia.[2]

Naza telah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan tiga anak. Perkahwinan pertama beliau ialah bersama pelakon Dayana Kamal dan dikurniakan seorang anak, Dayang Fatiha Amanda.[3] Selepas Dayana meninggal dunia akibat nahas jalan raya pada 2009, beliau berkahwin dengan Eff Aziz dan dikurniakan dua lagi anak, Nyna Isabella dan Ayden Mikhail.